Dalam istilah bahasa, jihad datangnya dari perkataan ' ' yang bermakna "menggunakan segala usaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu". Dengan istilah ini, kita mungkin berjihad ketika belajar dengan menghadapi peperiksaan. Tetapi "Jihad" dalam definisi syara' hanya boleh membawa satu makna iaitu "menentang orang kafir di medan pertempuran dan menghapuskan segala rintangan terhadap da'wah bagi menjadikan kalimah Allah (Islam) itu tinggi setinggi-tingginya".
Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Saya telah diperintahkan untuk memerangi orang ramai sehingga mereka berkata . Dan sekiranya mereka berkata demikian, maka mereka telah menyelamatkan darah (nyawa) serta harta benda mereka kecuali apa yang hak (dengan sebab)."
Dan Rasulullah s.a.w. juga bersabda:
" Jihad telah wujud semenjak Allah s.w.t. mengutuskan saya dan (berterusan) sehingga yang terakhir di antara ummah saya memerangi Dajjal. Tiada kezaliman (seseorang) yang zalim atau keadilan (seseorang) yang adil akan menghentikannya."
Seringkali Jihad didalam Islam di salah ertikan sebagai suatu ajaran yang menggalakkan keganasan. Apakah sebenarnya konsep Jihad didalam Islam?
Huraian dibawah ini boleh menjelaskan persoalan tersebut.
Peperangan secara umumnya bererti pertikaian di antara dua buah negara atau lebih, di mana pihak-pihak yang terlibat menggunakan kekuatan senjata dengan maksud untuk mengalahkan pihak lawan atau untuk mengenakan syarat-syarat perdamaian ke atas pihak yang kalah mengikut kehendak pihak yang menang. Peperangan dalam Islam adalah dikenali dengan jihad.
Allah s.w.t. berfirman di dalam Surah At-Taubah ayat 29 berbunyi:
Maksudnya:
"Perangilah orang-orang yang tidak beriman dengan Allah dan Hari Kemudian, yang tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan Allah dan rasulNya dan tidak pula beragama dengan agama yang benar (iaitu) di antara ahli kitab kecuali mereka membayar jizyah dengan kepatuhan yang rela dan merasa diri mereka ditawan."
Allah s.w.t. berfirman di dalam Surah At-Taubah ayat 36 berbunyi:
Maksudnya:
"Perangilah orang-orang musyrik semuanya, sebagaimana mereka memerangi kamu semua"
Di dalam Al-Quran terdapat 121 ayat yang menyentuh persoalan memerangi orang kafir, perkataan-perkataan Bahasa Arab mungkin membawa pelbagai makna, tetapi dengan ketibaan Islam, beberapa perkataan Arab telah dihadkan maknanya kepada satu istilah sahaja iaitu istilah syara'.
Ta'rif Pengganas
Hakikat keganasan sebenar ialah perlakuan ganas seseorang terhadap orang lain dengan cara batil, atau dengan kata lain merampas dan mengetepikan hak orang lain dengan perbagai cara termasuk membunuh dan sebagainya. Jadi, keganasan itu adalah suatu kezaliman yang besar.
Oleh kerana Islam seringkali dikaitkan dengan pengganas. Maka ta'rif pengganas yang sebenar perlulah diperjelaskan kepada masyarakat umum.
Keganasan adalah suatu tindakan yang melampau yang ditentang oleh semua agama. Islam melarang bukan sahaja keganasan di masa aman bahkan keganasan di masa perang.
Islam juga mengharamkan perlakuan ganas terhadap orang lain. Apabila adanya mayat-mayat orang Islam yang dikelar, yang di cincang, Islam mengharamkan kita bertindak balas seperti perlakuan musuh.
Oleh kerana itu, kita perlu suatu takrif, definisi yang lengkap berhubung dengan keganasan ini. Difahamkan bahawa ada persidangan di Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan tentang keganasan ini. Suatu takrif yang tepat bukan sahaja untuk mengatasi keganasan bahkan bagi mencari punca sebenar keganasan berlaku perlulah dilakukan.
Berkenaan dengan takrif `keganasan', kita khuatir kerana siapa sahaja boleh dituduh menjadi pengganas. Kadang-kadang ada orang yang berjuang untuk membebaskan negara mereka daripada penjajahan, mereka ini biasanya ditakrif sebagai pengganas ,mereka diburu. Sebaliknya sekiranya mereka menang, mereka tidak lagi dikatakan pengganas.
Sebab itu kita perlu suatu ta'rif dan pengertian yang adil dan tepat tentang pengertian sebenar pengganas. Adakah tepat untuk mengatakan bahawa mereka yang memperjuangkan kemerdekaan di negaranya sendiri akibat cengkaman penjajah boleh dicop sebagai pengganas?
Perbezaan Antara Jihad Dan Keganasan
Jihad adalah alat yang digunakan oleh negara Islam untuk menyebarkan serta menyampaikan syi'ar Islam. Ianya digunakan sebagai tindakan fizikal menghapuskan segala halangan kepada dakwah Islam dan dengan cara inilah Islam dibawa keseluruh kawasan negara Islam baik pada zaman Rasulullah mahupun zaman para sahabat dan begitu juga di zaman khulafa' yang seterusnya.
Ianya mempunyai tiga peringkat. Yang pertama, penduduk disesuatu kawasan itu akan diajak memeluk Islam, dan mereka akan diberi tempoh untuk mengkaji dan memahami Islam; sekiranya mereka menolak mereka akan dipelawa menjadi rakyat negara Islam dengan membayar 'jizyah' dan Islam akan diimplimentasikan ke atas mereka, dan mereka akan diberikan hak -hak yang sama seperti mana-mana umat Islam.
Perlulah difahami bahawa jihad hanyalah untuk menghapuskan rintangan terhadap dakwah kepada Islam; bukan untuk menakluk atau memperhambakan mana-mana kaum dan bukan untuk membina empayar dan tidak sekali untuk memaksa seseorang itu memeluk Islam.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Tidak ada paksaan dalam agama..." (Al-Baqarah: 256)
Islam tidak bermaksud untuk mengangkat sesuatu bangsa dengan menjajah bangsa yang lain. Apa yang dipentingkan oleh Islam ialah kebahagiaan dan keamanan manusia seluruhnya.
Untuk tujuan itu, Islam mempunyai teori dan manhaj yang tersendiri. Mana-mana teori dan manhaj yang bercanggah dan cuba menghapuskannya akan ditentang oleh Islam.
Islam mahukan bumi bukan untuk menakluki, menjajah dan memeras kekayaannya. Tetapi apa yang dikehendaki oleh Islam ialah supaya manusia yang berada di atas bumi ini dapat mengekalkan kemuliaan mereka sebagai makhluk yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. seperti firman-Nya dalam Surah Al-Israa' ayat 70 berbunyi:
Maksudnya:
"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.''
Jadi untuk mencapai objektif yang agung ini, maka Islam bersedia menggunakan seluruh kekuatan dan pelbagai cara serta usaha. Perjuangan yang berat ini adalah dikenali sebagai jihad.
Jihad dalam Islam iaitu jihad untuk memberikan kebebasan yang sempurna kepada setiap manusia di seluruh dunia, jihad membebaskan manusia dari memperhambakan diri ('ubudiyah) kepada sesama manusia untuk digantikan dengan pengabdian yang sebenar iaitu memperhambakan diri semata-mata kepada Allah, Pencipta Alam Yang Maha Esa. Inilah alasan untuk jihad. Inilah satu-satunya alasan yang terdapat dalam jiwa setiap pejuang Muslim.
Pernah seorang ketua tentera Parsi yang bernama Rustum bertanya kepada Rabei' bin Amer, Huzaifah bin Muhsin dan Al-Mughirah bin Shu'bah di dalam peperangan Qadisiyah:
"Apakah tujuan kamu ke mari?'' Mereka menjawab: "Allah mengutuskan kami untuk mengeluarkan siapa yang mahu, dari memperhambakan diri kepada manusia, kepada memperhambakan diri kepada Allah Yang Esa. Mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia ini kepada keluasan-Nya. Mengeluarkan manusia dari kezaliman kepada keadilan . Supaya Rasul itu mengajarkan makhluk Allah dengan agama-Nya. Sesiapa yang menerima cara hidup ini maka kami akan mengembali dan memulangkan negerinya. Tetapi sesiapa yang enggan maka kami akan terus memeranginya sehingga kami syahid ataupun menang.''
Selain daripada itu jihad adalah untuk mengekalkan keadilan dan keimanan di atas muka bumi ini. Ayat berikut ada menyatakan hal ini seperti firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 251 yang berbunyi:
Maksudnya:
"Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini, akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam.''
Dalam ayat ini perang dibenarkan dengan tujuan untuk mengelak 'kerosakan bumi', di mana jika perang tidak dilakukan maka muka bumi akan menjadi rosak akibat perbuatan orang-orang yang zalim. Atau dapat dikatakan juga bahawa perang itu perlu sebagai cara untuk menyelesaikan masalah-masalah kemasyarakatan.
Firman Allah s.w.t. lagi dalam Surah Al-Hajj ayat 40 - 41 yang berbunyi:
Maksudnya:
"Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam),
sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.''
Dalam ayat ini pula, jihad itu diperlukan untuk mempertahankan dan mengekalkan keimanan kepada Allah Subhanahu Wataala. Jika perang tidak dilakukan dan tidak dibenarkan, maka keimanan akan pupus dari muka bumi kerana tempat-tempat ibadat dimusnahkan oleh musuh-musuh Allah s.w.t.
Seterusnya ayat ini menyatakan bahawa objektif jihad juga ialah untuk membolehkan orang-orang mukmin menjalankan ibadat mereka kepada Allah, bersembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada kebaikan dan melarang dari kemungkaran dalam masyarakat.
Atau dengan kata lain membolehkan manusia bermunajat kepada Allah, tidak tunduk kepada pengaruh kebendaan dan dapat menegakkan keadilan di kalangan masyarakat. Hanya dengan merealisasikan jihad sahaja kita akan dapat membela agama Islam dari dicabuli oleh musuh-musuh Islam dan juga untuk mempertahankan keamanan bumi dari berlakunya kerosakan.
Hakikat Sebenar Keganasan
Apa yang boleh kita saksikan mutakhir ini ialah kekejaman orang-orang Israel terhadap Umat Islam di Palestin. Orang-orang Israel telah menceroboh bumi berdaulat Palestin, merampas tanah, membunuh, dan menghalau Umat Islam Palestin dari tanahair mereka.
Tindakan Amerika Syarikat dan sekutu kuatnya, Britain menyerang Iraq dengan berbagai alasan, menunjukkan sikap angkuh mereka untuk menghapuskan sebuah kerajaan yang diterajui oleh orang Islam. Rakyat Iraq yang sudah cukup tertekan dengan sekatan ekonomi selama ini, terus menderita dengan pencerobohan tentera Amerika dan sekutunya. Saban hari mereka hidup dalam ketakutan. Serangan bom yang tidak mengenal mangsa telah membunuh golongan yang lemah seperti kanak-kanak, perempuan dan orang tua.
Inilah hakikat sebenar keganasan yang boleh kita saksikan di abad ini.
Penutup
Jelaslah kepada kita bahawa Islam ialah agama yang murni. Islam bukan agama keganasan. Ia adalah agama kesejahteraan, keharmonian dan agama perdamaian. Sebarang tohmahan terhadap Islam sebagai ganas adalah tidak benar sama sekali.